Kerajaan Tetap Kadar Baru Subsidi Beras ST15 Peratus
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Kerajaan hari ini menetapkan kadar baru subsidi beras Super Tempatan 15 peratus (ST15) dalam usaha mewujudkan kawalan harga beras yang lebih berkesan dan memudahkan rakyat mendapat bekalan bahan itu.
“Mulai 1 April 2009, kerajaan menetapkan kadar baru subsidi yang lebih rendah serta satu kaedah baru diperkenalkan bagi penambahbaikan Program Subsidi Pengeluaran Beras ST15 Peratus oleh pengilang di Semenanjung dan Program Subsidi Pengeluaran Beras Tempatan oleh pengilang di Sabah dan Sarawak.
“Kadar subsidi pengilang di Semenanjung adalah RM750 setiap tan metrik manakala bagi Sabah dan Sarawak subsidi pengilang adalah RM600 setiap tan metrik,” menurut kenyataan akhbar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Selain itu, kementerian itu juga menetapkan jumlah maksimum pengeluaran beras ST15 peratus dihadkan sebanyak 40,000 tan metrik sebulan bagi Semenanjung dan 21,500 tan metrik setahun bagi Sabah dan 14,000 tan metrik setahun untuk Sarawak.
“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi mewujudkan kawalan harga yang lebih berkesan di samping memudahkan rakyat mendapat bekalan beras yang lebih murah sekaligus mengurangkan perbelanjaan isi rumah,” kata kenyataan itu.
Pelaksanaan kedua-dua program ini akan menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak RM360 juta setahun bagi Semenanjung dan RM12.9 juta serta RM8.4 juta setahun bagi Sabah dan Sarawak.
Langkah yang diumumkan hari ini akan dilaksanakan selama enam bulan sehingga 30 Sept ini.
“Kerajaan hendak memastikan pengguna menikmati harga yang sama dalam keadaan kemelesetan ekonomi sekarang. Kerajaan akan mengkaji kesesuaian sama ada program subsidi ini perlu dilanjutkan atau sebaliknya selepas tempoh itu,” menurut kenyataan itu lagi.
– BERNAMA
7 Comments
Other Links to this Post
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
By Pengguna Confuse, April 8, 2009 @ 5:34 pm
Kerajaan telah tetapkan kadar baru beras tetapi pelaksanaannya sebagai rakyat sebagai pengguna tetap terasa akan kenaikan harga beras.Harga tetap mahal.Mengenai projek2 besar untuk tanaman Mega padi adakah akan menjadi kenyataan kalau kita melihat dengan harga beras yang telah ditetapkan oleh kerajaan?Kadang2 hanya pada perancangan sahaja tetapi tidak pada perlaksanaannya.Sekian terima kasih
By Gulai pisang, April 27, 2009 @ 6:15 pm
laa x dak dah beras tuuu
By tantin, April 27, 2009 @ 6:17 pm
Kebanyakan kedai payah ada beras st15.
By tantin, April 27, 2009 @ 6:21 pm
Kenyataan mengatakan bagi memudahkan rakyat mendapat beras tersebut kerana murah. Tapi adakah kerajaan pantau beras tersebut ada dipasaran?
By Osman Jailani, May 1, 2009 @ 10:04 pm
Dimanakah untuk mendapatkan beras ST15% sedangkan dikedai runcit tak ada langsung
By Osman Jailani, May 1, 2009 @ 10:15 pm
Kementerian dah umum untuk edarkan beras ST15% tapi adakah apa yang diumum itu sekadar melepas batuk ditangga sahaja. Harap pihak atasan kementerian tuu turun laa ke padang, terutamanya menteri baru ni, jangan dok pakai cara menteri lama cakap saja tapi tak tengok dibawah.
By liey, October 7, 2009 @ 12:53 pm
Tak ada la pulak beras tu di kat tmpt teman ni di bota. jgn cakap jer turun padang mai tengok ada ke tak ada beras st15 kat tmpt teman ni.