PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT DI BAWAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

1.         LATAR BELAKANG

1.1              Dengan sasaran untuk meningkatkan ketahanan dan daya saing Malaysia, Program Transformasi Kerajaan telah diilhamkan dan diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak pada bulan April 2009.

1.2              Program Transformasi Kerajaan ini mempunyai 2 matlamat. Pertama, untuk merubah kerajaan ke arah yang lebih efektif dan bertanggungjawab. Kedua, untuk melonjakkan kesemua masyarakat Malaysia ke tahap yang lebih maju, bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini adalah selari dengan Misi Negara untuk mencapai Visi 2020-menganjak Malaysia kepada negara yang serba-serbi maju dengan rakyat yang berpendapatan tinggi.

1.3              Salah satu daripada 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri adalah mempertingkatkan taraf hidup keluarga berpendapatan rendah.

1.4              Selaras dengan matlamat ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan salah satu daripada Petunjuk Prestasi Utama beliau ialah untuk mempertingkatkan pendapatan golongan sasar di dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

1.5              Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

2.         OBJEKTIF PROGRAM

2.1       Diantara objektif program ini ialah untuk :

  1. Membantu rakyat mempertingkatkan pendapatan dalam bidang tanaman, penternakan, perikanan dan penghasilan produk-produk industri asas tani.
  2. Memberi sokongan kepada hasrat kerajaan mencapai miskin tegar sifar dan miskin kepada 2.8% pada tahun 2010.
  3. Mengeluarkan para peserta dari Paras Garis Kemiskinan dan seterusnya memutihkan mereka dari senarai e-kasih.

3.         MEKANISMA PELAKSANAAN PROGRAM

(i)         Kawasan Projek

Meliputi 222 kawasan parlimen di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan keutamaan diberikan kepada lima buah negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

(ii)       Jenis Projek

Projek hendaklah yang cepat mengeluarkan hasil dan memberi pulangan yang baik, produk/perkhidmatan yang mudah dipasarkan, berdaya maju dan mapan. Projek juga boleh dilaksanakan secara kelompok mahupun individu. Pelaksanaan secara ladang kontrak, mentor-mentee dan anchor-vendor adalah digalakkan kerana projek sebegini berdaya tahan dan mampu memberi hasil lumayan. Contoh-contoh jenis projek dan aktiviti yang disyorkan:-

a)                  Tanaman

  • Cendawan
  • Jagung manis
  • Cili fertigasi
  • Taugeh

b)                  Ternakan

  • Ayam/itik penelur
  • Keli/haruan dalam sangkar/tangki
  • Burung walit
  • Lembu/kambing

c)                  Perikanan

  • Penternakan benih ikan
  • Peralatan menangkap dan memasar ikan
  • Penternakan akuakultur

d)                 Pemprosesan

  • Makanan berasaskan hasil tanaman (beras, kelapa, roselle, sago, buah-buahan dan sayur)
  • Hasil perikanan (keropok, isi ikan, belacan, cincalok, otak-otak, udang kering, ikan bilis, sotong kering dll.)
  • Hasil ternakan (produk susu, telur asin dll.)
  • Kraftangan berasaskan pertanian

e)                  Perniagaan

  • Menjual makanan dan minuman
  • Menjual hasil pertanian dan industri asas tani

f)                   Perkhidmatan Pertanian

  • Mesin dan jentera
  • Aktiviti perikanan rekreasi

(iii)       Kelayakan Peserta

Program ini terbuka kepada nama-nama yang tersenarai di dalam database e-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah, serta memenuhi syarat berikut:-

a)                  Berkeupayaan untuk melaksanakan projek/aktiviti pertanian dan industri asas tani.

b)                  Mempunyai minat dan kesungguhan di dalam sektor ini.

c)                  Pendapatan isirumah bulanan:-

  1. Bagi golongan miskin tegar, pendapatan isirumah kurang daripada RM430 (Semenanjung Malaysia), RM540 (Sabah & Labuan) dan RM520 (Sarawak);
  2. Bagi golongan miskin, pendapatan isirumah kurang daripada RM720 (Semenanjung Malaysia), RM960 (Sabah & Labuan) dan RM830 (Sarawak); dan
  3. Bagi golongan berpendapatan rendah, pendapatan isirumah kurang dari RM1,500 untuk semua negeri.

4.        BENTUK BANTUAN

Jenis kemudahan bantuan yang disediakan di bawah program ini adalah secara berpakej yang merangkumi:-

(i)                 Bantuan kewangan projek sebanyak RM10,000 (maksima) bagi setiap peserta, kecuali projek perikanan tidak melebihi RM20,000. Peruntukan ini digunakan untuk penyediaan premis dan infrastruktur, benih-benih ternakan dan tanaman, bahan mentah, mesin, peralatan dan sebagainya yang diperlukan bagi melaksanakan projek.

(ii)               Latihan pembangunan modal insan dan bimbingan dari aspek teknikal.

(iii)             Pemindahan teknologi dari jabatan/agensi pelaksana kepada peserta projek.

(iv)             Kemudahan dan sokongan pemasaran.

4 Comments

  • By kerryzuedy, February 7, 2010 @ 4:14 pm

    Adalah diharapkan dengan 1 Malaysia ini dpt meningkatkan taraf hidup ekonomi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.. Tahniah kepada PM kerana mewujudkan 1 Malaysian..Ini merupakan satu landasan terbaik dalam meningkatkan martabat rakyat seterusnya dapat bersaing dengan negara2 yang lebih maju…

  • By Shahrun Nizam b Said, February 15, 2010 @ 8:18 am

    Assalamualaikum…
    Bagaimana saya mahu mengikuti
    PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT DI BAWAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI ini beserta web untuk PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT DI BAWAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI)

  • By Shahrun Nizam b Said, February 15, 2010 @ 8:19 am

    Bagaimana saya mahu mengikuti
    PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT DI BAWAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI ini beserta web untuk PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT DI BAWAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI)

  • By Mohd Noor, February 24, 2010 @ 4:23 am

    Shahrun Nizam b Said: Encik boleh menghubungi En Khalit bin Kasmoin di talian 03 8870 1799

Other Links to this Post

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

@2009 Hak Cipta Terpelihara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia