PASIR PUTEH, 24 Sept (Bernama) — Seorang bekas penanam tembakau memperoleh pendapatan lumayan melalui tanaman cili menggantikan tembakau di tanahnya di Gong Kulim, dekat sini.
Dengan tanaman cili, Che Ahmad Che Kob, 60, meraih pendapatan bersih sehingga RM70,000 semusim daripada tanaman seluas 2.5 hektar.
Selain kawasan cili kulai yang sedang mengeluarkan hasil itu, kini beliau membangunkan kawasan baru seluas empat hektar di Kemubu hasil sokongan Jabatan Pertanian, yang berpotensi menambah perolehan sehingga RM90,000 semusim.
“Saya terbabit dengan penanaman tembakau sejak 1970-an hinggalah pada 1994, namun tidak banyak mengubah hidup keluarga apabila hanya memperoleh antara RM200 hingga RM300 sebulan, ekoran hasil yang kurang baik dan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui di sini Khamis.
Kejayaan Che Ahmad kini adalah hasil penyertaannya dalam Program Pembasmian Rakyat Termiskin sejak 1994 yang dilaksanakan oleh Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.
Che Ahmad berkata ketika itu pendapatan yang diperoleh hanya sekadar dapat menampung perbelanjaan harian anak sekolah dan makan minum keluarga.
“Ia amat menyedihkan apabila empat anak saya tidak mampu meneruskan pengajian hingga ke universiti kerana saya tidak mampu membiayai mereka ketika itu.
“Ketika kesulitan hidup itu, saya disenaraikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang sebagai keluarga miskin tegar untuk menerima bantuan daripada YKK dan JPP Kelantan, yang kemudian menyalurkan input pertanian seperti baja dan benih cili bernilai RM5,000 untuk diusahakan kerana potensi pasaran yang lebih baik,” katanya.
Katanya cili yang ditanamnya mula mengeluarkan hasil selepas mencapai tempoh matang enam bulan, yang mampu mengeluarkan hasil secara berterusan selama enam bulan sebelum dimusnahkan untuk tanaman sampingan sebagai selingan sebelum ditanam semula dengan cili.
Katanya, beliau mengusahakan tanaman labu madu dan tembikai wangi ketika tempoh peralihan yang menghasilkan sehingga tujuh tan hasil kebun semusim.
Che Ahmad berkata, beliau dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk memasarkan cili yang diusahakannya termasuk memenuhi kontrak jualan dengan syarikat pengeluar sos cili tempatan.
Katanya beliau lebih suka mengusahakannya sendiri sambil dibantu isterinya, Shamsiah Adam, 58, serta dua anak mereka yang masih tinggal di kampung.
Empat lagi anaknya kini melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan, manakala dua bekerja di Lembah Klang.
Jika dulu sekadar kais pagi makan pagi, kini Che Ahmad berbangga memiliki tiga kenderaan serta dua rumah besar untuk keselesaan isteri dan anak-anak serta cucunya hasil setia berbudi kepada tanah.
– BERNAMA