Peringatan! Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Elakkan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Terima Kasih.


Siaran Media : Program Azam Tani 2010 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Khamis, 22 Julai 2010 – Y.B. Senator Dato’ Sri Shahrizat binti Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Y.B. Datuk Seri Noh bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pada jam 3.00 petang bertempat di Wisma Tani Putrajaya bagi pelaksanaan projek AZAM TANI bagi tahun 2010.

Projek Azam Tani akan dilaksanakan oleh MOA berdasar kepada senarai nama yang diserahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seperti mana yang telah dipersetujui di dalam sesi taklimat NKRA Rakyat Berpendapatan Rendah yang diberikan oleh KPWKM pada 10 Mac 2010. Sehingga kini, MOA telah menerima senarai daripada KPWKM sebanyak 747 peserta miskin tegar dari lapan negeri di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan kepada semakan yang dibuat, kedudukan terkini peserta yang layak menerima projek AZAM TANI adalah seramai 359 peserta miskin tegar dan 92 peserta miskin.

Selanjutnya »

Giatmara Sedia RM200,000 Untuk Projek Ikan Dalam Sangkar Di Tanjung Dawai

Giatmara menyediakan peruntukan RM200,000 bagi melaksanakan projek ternakan ikan dalam sangkar di sini, yang melibatkan 15 peserta di bawah program menjana pendapatan rakyat.

Ketua Pengawai Eksekutifnya Meriyam Abd Majid berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya melaksanakan projek penjanaan pendapatan, khusus bagi membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dan keluar dari belenggu kemiskinan.

Selanjutnya »

Pengeluaran Kekal Makanan Mampu Kurangkan Penggantungan Makanan Import

Kerajaan bercadang membina lebih banyak Taman Pengeluaran Kekal Makanan (TPKM) di seluruh negara bagi mengurangkan pergantungan pada makanan import, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Baharom Jani.

Beliau berkata bagi tempoh sehingga 2008, negara mengimport makanan bernilai RM6 bilion setahun.
Selanjutnya »

Usahawan Berasaskan Makanan Berproses Digalak Memohon Jenama 1 Malaysia Best

Syarikat pengusaha makanan berproses di Melaka digalakkan memohon surat perakuan logo 1 Malaysia Best bagi membantu menaik taraf makanan berproses keluaran tempatan bagi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata objektif penggunaan logo tersebut juga untuk mewujudkan satu jenama yang beridentiti Malaysia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bagi pasaran tempatan dan global.

“1 Malaysia Best merupakan satu perakuan jenama yang melambangkan identiti Malaysia untuk meningkatkan jualan dan profil produk berasaskan pertanian di pasaran tempatan dan global.”

Selanjutnya »

Kenyataan Media : Pengimportan Daging Kerbau Dari India

KENYATAAN MEDIA

Oleh;

DATO’ DR. ABD. AZIZ B. JAMALUDDIN

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar

19 Julai 2010 (Isnin)

PENGIMPORTAN DAGING KERBAU DARI INDIA

  • Tahap sara diri bagi daging lembu di Malaysia ketika ini adalah sebanyak 27%. Pelbagai strategi telah dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran dan tahap sara diri 40% menjelang 2015. Bagi menampung keperluan negara, Malaysia perlu mengimport daging dari luar negara seperti India (80,000 tan metrik atau 80% daging kerbau) dan selebihnya diperolehi daripada Australia, New Zealand, Uruguay, Argentina dan Brazil.  Sebahagian kecil daging import ini diproses menjadi produk tambah nilai dan dieksport semula.
  • Pengimportan daging kerbau dari India telah lama dijalankan semenjak awal 80-an lagi.  Sehingga kini, semua proses pengimportan termasuk pengeluaran dokumen seperti Sijil Kesihatan Veterinar, Sijil Halal dan label pembungkus daging yang dikeluarkan oleh pihak di India jelas menyatakan daging yang diimport adalah daging kerbau.  Perkataan Buffalo Meat digunakan dan bukannya Indian Beef memandangkan ia merupakan isu sensitif di India.  Di samping itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mengeluarkan permit import jelas mencatitkan perkataan daging kerbau dalam permit yang dikeluarkannya. Lanjutan daripada itu, pemeriksaan bagi tujuan verifikasi juga dijalankan dipintu-pintu masuk negara yang kini dipertanggungjawabkan kepada MAQIS.  Isu yang sama ini juga pernah banyak kali dibangkit dan dijelaskan oleh Menteri Pertanian di dalam Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dari beberapa Ahli Parlimen.
  • Malaysia membenarkan pengimportan daging dari Indua dengan mengambil kira beberapa kaedah-kaedah pencegahan penyakit tersebut dari merebak ke dalam negara.  Malaysia kini masih tidak bebas daripada Penyakit Kuku dan Mulut (PKM) / Foot and Mouth disease (FMD) dan berusaha untuk mencapai status bebas penyakit PKM / FMD menjelang 2015.  Indonesia tidak membenarkan pengimportan daging kerbau dari India untuk mengekalkan status bebas PKM / FMD iaitu sejenis penyakit ternakan yang mudah menular di kalangan ternakan yang berkuku seperti lembu, kambing, unta dan sebagainya.
  • Sebelum pengimportan dibenarkan, pegawai-pegawai dari JPV, JAKIM dan Kementerian Kesihatan akan menjalankan pemeriksaan ke atas loji-loji yang memohon untuk eksport ke Malaysia. Hanya loji yang mematuhi syarat-syarat Sanitari dan Pitosanitari (SPS) dan Halal sahaja yang diluluskan. Ini memberi jaminan pengimportan daging kerbau ini tidak akan berlaku sebarang risiko penularan penyakit ke Malaysia dan selamat untuk dimakan.
  • Terdapat perbezaan antara daging lembu dan kerbau dari aspek teksturnya terutama sekali apabila ternakan semakin tua.  Walau bagaimanapun, kualitinya juga bergantung pada pelbagai faktor lain dan bukan hanya disebabkan penggunaan ternakan tersebut untuk membajak dan sebagainya sahaja. Antara faktor tersebut adalah umur sembelihan dan pemakanan.
  • Sebanyak 60 buah syarikat pengimport telah dibenarkan mengimport daging dari luar negara. Walau bagaimanapun, hanya 20 pengimport sahaja yang aktif mengimport daging memandangkan bidang ini melibatkan pengendalian bahan mudah rosak atau perishable goods yang memerlukan penyediaan logistik yang sesuai dan mencukupi.  Kos untuk membangun dan menyelenggarakannya adalah tinggi dan hanya segelintir sahaja syarikat-syarikat Bumiputera seperti Ramly Food Sdn. Bhd. yang masih aktif.  Melalui aktiviti-aktiviti bersama dengan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) serta beberapa pendekatan lain, diharap akan dapat meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam bidang ini.
  • Kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai strategi untuk meningkatkan pengeluaran daging untuk memenuhi keperluan tempatan.  Sementara itu, negara masih perlu mengimport daging daripada luar negara. Walau bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama JPV akan memastikan daging yang diimport ini selamat untuk dimakan.



Kenyataan Media : Pembangunan Industri Burung Walit Malaysia

Oleh;

Y.B. DATUK SERI NOH BIN HAJI OMAR

Menteri  Pertanian  &  Industri  Asas  Tani  Malaysia

12 Julai 2010 (Isnin)

ROAD MAP

PEMBANGUNAN INDUSTRI BURUNG WALIT NEGARA

Pada 1 April 2009, Kerajaan telah memutuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dilantik sebagai agensi peneraju bagi merancang pembangunan industri burung walit di negara ini. Berikutan dari arahan itu, JPV telah melaksanakan usaha-usaha menyelaras undang-undang dan peraturan beserta garis panduan yang menjadi wadah utama untuk memantapkan Industri Walit keseluruhannya. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi JPV telah mengambil beberapa tindakan bagi pembangunan industri burung walit seperti:

  • menyediakan satu Garis Panduan (1GP) Pembangunan Industri Burung Walit Negara yang menyeluruh untuk diguna pakai oleh pelbagai agensi yang terlibat bertujuan untuk menyelaras dan mengharmonikan pelbagai peraturan pelaksanaan aktiviti penternakan dan pemprosesan serta kegiatan import dan eksport sarang burung walit agar ia lebih tersusun dan berdaya maju; dan
  • menyediakan Kerangka Pelan Induk Pembangunan Industri Burung Walit.

Justeru itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan induk pembangunan industri sarang burung walit bagi menambah bilangan pengusaha yang mampan dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam penternakan burung walit dan perusahaan sarang burung walit. Perancangan pelaksanaan pelan induk ini merangkumi tempoh sehingga tahun 2020 telah menggariskan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai agensi yang terlibat dalam menjayakan pembangunan industri sarang burung walit di negara ini. Objektif serta strategi pelan induk ini adalah bertujuan untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam meningkatkan pengeluaran sarang burung walit daripada 250 tan metrik bernilai RM1 bilion pada tahun 2008 kepada 500 tan metrik dengan anggaran nilai sebanyak RM5 bilion pada tahun 2020.

Bagi mencapai pengeluaran yang telah dirancang, pelan induk pembangunan industri sarang burung walit ini menggariskan 7 Bidang Keberhasilan Utama yang perlu dicapai iaitu:

  • Undang-undang dan peraturan serta garis panduan yang menyeluruh bagi pembangunan industri burung walit;
  • Premis perladangan burung walit yang mapan dan mesra alam;
  • Pengeluaran produk sarang burung walit bebas penyakit haiwan;
  • Pembangunan peluang pemasaran dan pengiktirafan standard sarang burung walit di persada dunia;
  • Peningkatan kecekapan dalam penghasilan produk melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D);
  • Mengadakan dana bagi perladangan dan pemprosesan sarang burung walit melibatkan penyertaan golongan miskin dan miskin tegar; dan
  • Pembangunan guna tenaga manusia yang mahir dan cekap dalam membangunkan industri sarang burung walit.

Sehubungan itu, 1GP telah dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai 2010 dan telah diluluskan. Ia merangkumi Tatacara Good Animal Husbandry Practices (GAHP) MS 2237:2009 (P), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Edible-Birdnest (EBN) – Spesifikasi MS 2334:2010 (P), Import/Eksport,  Penyelarasan  Jabatan  Perancang  Bandar  dan  Desa  Semenanjung Malaysia, Pendaftaran, Perlesenan serta rujukan norma-norma berkaitan.

Di samping itu, garis panduan ini turut memperuntukkan kaedah pendaftaran premis burung walit di seluruh negara. Untuk tujuan ini, JPV akan membangunkan sistem pendaftaran premis penternakan burung walit melalui laman web burungwalit.com.my secara berperingkat-peringkat. Pendaftaran premis burung walit boleh dicapai oleh pelbagai pihak secara maya. Setiap premis akan diberikan nombor Radio Frequency Identification (RFID) bagi memudahkan pengenalan dan tindakan daya jejak. Kad pengenalan premis akan dikeluarkan oleh JPV. Pendaftaran premis burung walit boleh dibuat sehingga akhir tahun 2010. Akta Binatang 1953 (Kaedah-Kaedah Binatang – Pendaftaran Premis Burung Walit 2010) akan diwujudkan dan ketika ini sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

Sehingga kini 5 buah loji pengeluaran produk sarang burung walit untuk eksport telah mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM). Eksport sarang walit terus menunjukkan peningkatan dan pasaran eksport ke negara China telah meningkat dari 4,965 kg tahun 2006 kepada 51,763 kg pada tahun 2007. Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Taiwan juga merupakan pengimport utama sarang burung walit dari negara ini. Kebanyakan eksport sarang burung walit adalah dalam bentuk mentah (raw unclean).

Kesedaran awam perlu dipupuk bagi meningkat kefahaman yang jelas tentang industri walit dari aspek pengenalan burung walit serta kesan industri pada orang awam. Justeru, perusahaan walit memberi tambah nilai kepada eko-sistem, tanah terbiar dan hutan. Ini juga membantu dalam meningkatkan pendapatan kemiskinan bandar dan luarbandar dengan program yang telah dirangka oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Benih Padi Baru Dijangka Atasi Kerugian Hampir RM100 Juta Akibat ‘Padi Angin’

Dua jenis benih padi baru yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dijangka dapat mangatasi masalah ‘padi angin’ yang menyebabkan negara kerugian hampir RM100 juta semusim.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata benih padi MR220CL1 dan MR220CL2 itu adalah hasil penyelidikan hampir tujuh tahun oleh Mardi dan sebuah syarikat bahan kimia, BASF.

“Masalah padi angin menjadi masalah besar kepada pesawah. Saya difahamkan akibat padi angin negara kerugian RM90 juta semusim berdasarkan kajian 2004.

“Sekarang mungkin hampir RM100 juta. Padi angin ini mengakibatkan padi menjadi ringan dan mudah lerai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan benih padi baru itu di sini hari ini.

Noh berkata untuk permulaan benih MR220CL1 dan MR220CL2 akan ditanam di kawasan Felcra di Perak dan akan diguna di seluruh negara sekiranya hasil padi agensi padi itu meningkat.

Dijangka penggunaan benih baru ini boleh menghasilkan antara lima dan lapan tan metrik padi sehektar, katanya.

Noh berkata negara ini juga sedang berbincang dengan sebuah negara jiran yang telah menyatakan minat untuk menggunakan benih padi itu di tempat mereka.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga merancang untuk mengusahakan sawah terbiar secara berskala besar seperti yang dilaksanakan Felcra bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang kebanyakan terdiri daripada warga tua.

Dalam ucapannya sebelum itu, Noh berkata Mardi juga sedang membangunkan jenis padi hibrid yang mampu memberi hasil 20 peratus lebih tinggi daripada biasa.

“Saya berharap jenis padi hibrid ini dapat diperkenalkan untuk penanaman di negara ini beberapa tahun lagi,” katanya.

Kementerian Mahu Kajian Buktikan Kambing Penyebab Darah Tinggi

Kementerian Pertanian dan Indutsri Asas Tani akan meminta Jabatan Veterinar berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan melakukan kajian saintifik bagi membuktikan kebenaran tanggapan ramai bahawa daging kambing menyebabkan penyakit darah tinggi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata persepsi itu menyebabkan orang ramai keberatan untuk menjamah daging haiwan ternakan tersebut.

“Ramai masih bimbang makan daging kambing kerana tanggapan itu. Tapi kajian (awal) yangn dibuat Jabatan Veterinar mendapati kandungan kolestrol daging kambing adalah rendah berbanding daging-daging lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing anjuran kementeriannya menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Dewan Serbaguna Parlimen, di sini pada Rabu.

Noh berkata selagi persepsi negatif tersebut tidak disingkirkan, adalah sukar bagi pihaknya untuk membuat promosi dan memasarkan daging kambing di pasaran tempatan.

Mengulas isu berlainan, Noh berkata FAMA telah mengenal pasti tapak di Johor Baharu, Johor untuk didirikan bangunan yang akan diguna khas untuk jamuan buah-buahan.

“Ia macam restoran tetapi sajikan buah-buahan sahaja. Dalam masa sama FAMA juga akan perbanyakkan pusat-pusat pengumpulan untuk buah-buahan tempatan dan juga kilang memproses buah sekiranya berlaku lambakan,” katanya.

FAMA juga katanya, akan mengadakan Pesta Durian Malaysia pada 15 hingga 20 Julai ini di Singapura sebagai salah satu langkah mempromosikan raja buah itu yang semakin mendapat sambutan di republik tersebut.

Selain durian sebagai hidangan utama, Anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan petugas Parlimen yang menghadiri majlis pada Rabu turut dijamu dengan buahan tempatan lain serta pelbagai menu daging kambing.

– BERNAMA

MAJLIS PELANCARANAN BOT TRANSFORMASI NELAYAN TRADISI DAN PEMBAYARAN ELAUN SARA HIDUP NELAYAN OLEH YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

KOTA KINABALU, Isnin, 31 Mei 2010 – YB Dato’ Seri Noh bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan Perasmian Bot Transformasi Nelayan dan Pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan pada jam 10.00 pagi di Mini Kompleks Pemasaran Ikan Persatuan Nelayan Kawasan Papar Kampung Laut, Papar, Sabah.

Program Bot Transformasi Nelayan merupakan program penghijrahan nelayan  kecil- kecilan/  tradisional kepada nelayan moden dan komersial ataupun  penghijrahan nelayan miskin yang hanya mengharapkan bantuan  kerajaan secara berterusan kepada nelayan yang berdikari dan berdaya maju. Selanjutnya »

PERASMIAN MESYUARAT AGONG PERSATUAN NELAYAN NEGERI SABAH OLEH YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

KOTA KINABALU, Ahad, 30 Mei 2010 – YB Dato’ Seri Noh bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan perasmian Mesyuarat Agong Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) pada jam 8.00 malam di Hotel Tang Dinasty, Kota Kinabalu, Sabah.

Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kali ke-13 dan melibatkan perwakilan daripada 13 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) termasuklah 12 PNK Sabah dan satu PNK Labuan serta seramai 111 yang terdiri daripada wakil-wakil nelayan seluruh negeri Sabah termasuk Labuan.

Mesyuarat ini turut membincangkan usul-usul tahun lepas seperti membincangkan projek ekonomi dan projek sosial. Penyertaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sektor perikanan ini seterusnya mengupas isu-isu semasa mengenai industri perikanan di perairan Sabah.

Antara perkara lain yang juga dibincangkan adalah isu permohonan Kuota penjualan minyak diesel dan petrol bersubsidi oleh PENGASAH, yang mana di Sabah Kuota penjualan minyak bersubsidi ini diberikan kepada Ko-Nelayan, Sabah.

Mesyuarat pada kali ini diharapkan dapat memberi ruang dan peluang kepada ahli nelayan bagi membangkitkan isu-isu yang diketengahkan seterusnya mendapat satu resolusi penyelesaian yang bermanfaat kepada semua pihak.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PERTANIAN & INDUSTRI ASAS TANI MALAYSIA

@2009 Hak Cipta Terpelihara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia